Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Pulau Pinang memulakan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) untuk memberikan suntikan imuninasi Covid-19 secara bergerak terhadap penduduk kampung yang mempunyai masalah kesihatan dan berdepan kesukaran untuk pergi ke pusat pemberian vaksin (PPV) hari ini.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Tengah merangkap Penyelaras program berkenaan, Kapten (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, buat permulaan Movak diadakan di dua lokasi dalam daerah Seberang Perai Tengah sebelum ia diperluaskan di daerah lain seluruh Pulau Pinang.

Menurutnya, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) diberikan tanggungjawab menjadi penyelaras untuk program itu yang menyasarkan golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kritikal sebagai kumpulan penerima vaksin.

"Buat masa ini, daerah Seberang Perai Tengah menjadi perintis terlebih dahulu untuk program ini sebelum ia diperluaskan ke daerah-daerah lain seluruh negeri.

"Kita berharap dengan adanya program seperti ini dapat membantu mempercepatkan proses vaksinasi dalam komuniti khususnya penduduk kampung yang tinggal di kawasan pedalaman serta jauh untuk pergi ke PPV," katanya ketika ditemui sempena program berkenaan di Kampung Guar Jering di sini.

Antara warga emas yang hadir bagi menerima suntikan vaksin COVID-19 di dalam bas Klinik Bergerak Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sempena Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Sekolah Agama Rakyat Guar Jering, Penanti di sini. FOTO DANIAL SAAD
Antara warga emas yang hadir bagi menerima suntikan vaksin COVID-19 di dalam bas Klinik Bergerak Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sempena Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Sekolah Agama Rakyat Guar Jering, Penanti di sini. FOTO DANIAL SAAD

Menurutnya, seramai 250 penduduk membabitkan lapan kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti menerima suntikan vaksin melalui program yang diadakan itu.

"Dalam program ini, selain menjalankan proses suntikan vaksin di dalam bas, sebanyak dua buah katil turut disediakan khusus untuk penerima vaksin yang tidak berdaya terutamanya warga emas atau mereka yang berkerusi roda.

"Kita juga melaksanakan suntikan dari rumah ke rumah bagi mereka yang masih tidak mempunyai upaya untuk datang ke program ini," katanya.

Menurutnya, kira-kira 70 petugas terdiri daripada anggota APM termasuk kakitangan Pejabat Daerah, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Jabatan Perpaduan negeri, Pejabat DUN dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) terbabit dalam program sehari yang diadakan bermula 9 pagi.

Sementara itu, seorang penduduk, Othman Aripin, 62, teruja apabila program berkenaan diadakan di kampung halamannya.

"Selalu nampak tengok dalam televisyen dan baca berita sahaja tetapi hari ini siapa sangka saya yang menerimanya.

"Tambahan pula datang suntik dengan kawan-kawan jadi hilang rasa berdebar dan berani sikit maklumlah banyak sangat benda tidak elok orang bercakap pasal vaksin ini tetapi saya yakin tidak ada apa-apa kerana saya nak hidup macam biasa balik.

"Program ini memang beri kemudahan kepada penduduk kampung di sini yang tidak perlu pergi jauh hingga ke Seberang Jaya untuk menerima suntikan vaksin." katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 3:09 PM