GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum 'gertak' mangsa berkaitan penjualan vaksin Covid-19 secara haram.

Itu modus operandi (MO) baharu kes penipuan yang dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman selepas menerima 38 laporan diperdaya berkaitan isu penjualan vaksin membabitkan kerugian RM54,500.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Kamaruddin Md Din berkata, sindiket memerangkap mangsa dengan menghubungi mereka dan mendakwa mangsa bakal dikenakan tindakan kerana menjual vaksin Covid-19 secara dalam talian.

"Mangsa yang panik, mudah terpedaya dan akan mengikut arahan yang diberikan sindiket.

"Setakat ini sebanyak 38 laporan polis diterima membabitkan MO yang sama dengan jumlah kerugian bernilai RM54,500," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Mohd Kamaruddin berkata, pihaknya juga menerima empat laporan berhubung aktiviti penipuan penjualan vaksin Covid-19.

"Sehingga kini lapan individu sudah dipanggil untuk memberi keterangan dan semua mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan diteruskan.

"Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada dan berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa sindiket penipuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 1:41 PM