GAMBAR hiasan. FOTO Aswadi Alias.
GAMBAR hiasan. FOTO Aswadi Alias.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menerima dua laporan berkaitan penipuan penjualan vaksin Covid-19 membabitkan kerugian berjumlah RM285,499.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya mengesan terdapat penularan maklumat di media sosial berkaitan penjualan vaksin Covid-19 secara dalam talian.

"Bagaimanapun, pihak pengendalian perkhidmatan jualan berkenaan sudah mengeluarkan kenyataan bagi menafikan terdapat iklan berkenaan.

"Namun, kami tidak menolak kemungkinan wujud iklan palsu berkaitan penjualan vaksin Covid-19. Setakat ini, kami menerima dua laporan berkaitan penipuan penjualan vaksin Covid-19 membabitkan kerugian berjumlah RM285,499.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainuddin berkata, kerajaan sudah mengumumkan pemberian vaksin Covid-19 dilaksanakan secara percuma kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Justeru, sebarang tawaran penjualan vaksin oleh mana-mana pihak adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab dan berkemungkinan satu penipuan.

"Kami sentiasa komited untuk melaksanakan pemantauan secara berterusan bagi mengesan dan membanteras mana-mana pihak yang cuba mengiklankan penjualan vaksin secara dalam talian," katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba 'menangguk di air keruh'.

"Orang ramai dinasihatkan supaya peka dengan pengumuman dan arahan dikeluarkan kerajaan dari semasa ke semasa bagi memastikan maklumat tepat diperoleh berkaitan program vaksinansi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 4:31 PM