GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 13 laporan berhubung dakwaan pemberian vaksin kosong oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, tujuh laporan diterima di Kuala Lumpur, tiga di Selangor dan masing-masing satu kes di Kedah, Perak dan Melaka.

"PDRM kini sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan dan mengesahkan menerima laporan yang dibuat.

"Bagi kes membabitkan penawaran palsu atau penipuan penjualan vaksin di pasaran, siasatan akan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dan cakna dengan inisiatif vaksinasi yang sedang dilaksanakan kerajaan dalam usaha membendung penipuan berkaitan penjualan vaksin Covid-19.

"Sehingga kini vaksin Covid-19 hanya dibekalkan oleh kerajaan mengikut Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"PDRM turut mengingatkan orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhati-hari mengeluarkan sebarang kenytaan ataupun ciapan yang belum dipastikan kebenarannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 1:05 PM