GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Ambil kesempatan menipu dengan menawarkan vaksin Covid-19 yang tidak wujud melalui media sosial.

Ternyata penipuan itu berhasil apabila masih ada mangsa yang percaya dan tertipu susulan dua laporan polis membabitkan kerugian RM285,499.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya mengesan terdapat penularan informasi di media sosial berkaitan penjualan vaksin Covid-19 secara dalam talian.

"Bagaimanapun, pihak pengendalian perkhidmatan jualan berkenaan sudah mengeluarkan kenyataan menafikan wujudnya iklan berkenaan.

"Namun, kami tidak menolak kemungkinan wujud iklan palsu berkaitan penjualan vaksin Covid-19. Setakat ini, kami menerima dua laporan berkaitan penipuan penjualan vaksin Covid-19 membabitkan kerugian berjumlah RM285,499.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Zainuddin berkata, kerajaan sudah membuat pengumuman berkaitan pemberian vaksin Covid-19 dilaksanakan secara percuma kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Justeru, sebarang tawaran penjualan vaksin oleh mana-mana pihak adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab dan berkemungkinan satu penipuan.

"Kami sentiasa komited untuk melaksanakan pemantauan secara berterusan bagi mengesan dan membanteras mana-mana pihak yang cuba mengiklankan penjualan vaksin secara dalam talian," katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba 'menangguk di air keruh'.

"Orang ramai dinasihatkan supaya peka dengan pengumuman dan arahan dikeluarkan kerajaan dari semasa ke semasa bagi memastikan maklumat tepat diperolehi berkaitan program vaksinansi ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 5:04 PM