DZULKHAIRI (kiri) melihat laman web digunakan anggota sindiket. FOTO Hazri A Bakar
DZULKHAIRI (kiri) melihat laman web digunakan anggota sindiket. FOTO Hazri A Bakar
Hazri A Bakar


Johor Bahru: Modus operandi mereka, mewujudkan laman web palsu dengan menyasarkan penduduk di England sebagai mangsa dengan menjual pelbagai barangan mewah berharga ribuan Pound Sterling dan Dolar Amerika.

Sindiket kemudian mewujudkan satu kumpulan Whatsapp disertai anggota sindiket sebelum memasukkan mangsa di dalam kumpulan berkenaan.

Menggunakan pelbagai telefon pintar dengan nombor berbeza, anggota sindiket yang menyamar sebagai pembeli di dalam kumpulan itu kemudian meyakinkan mangsa yang dijemput masuk bahawa laman Web berkenaan adalah tulen dan boleh dipercayai.

Anggota sindiket terbabit fasih berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris bagi meyakinkan mangsa yang tinggal di England, malah seorang anggota yang ditahan lewat petang semalam adalah lulusan universiti di Singapura dalam pemasaran digital.

Malah, bagi meyakinkan penipuan mereka, kesemua anggota dibekalkan dengan nombor telefon didaftarkan di United Kingdom sebagai 'pembeli' di dalam kumpulan Whatsapp berkenaan.

Kegiatan sindiket tipu jual beli barang Amazon ini berjaya ditumpaskan sepasukan pegwai dan anggota polis Ibupejabat Daerah Iskandar Puteri dalam satu serbuan di Medini, Iskandar Puteri, kira-kira 6 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, sindiket sudah beroperasi selama seminggu dan akan bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi bagi mengelak dikesan.

Kelicikan mereka bagaimanapun berjaya dikesan hasil risikan serta maklumat orang awam.

"Tiga lelaki warga tempatan berusia antara 19 hingga 23 tahun ditahan dalam serbuan itu.

"Polis turut merampas 25 telefon bimbit, enam komputer riba, sebuah fail dan serangkai kunci rumah," katanya.

Suspek mendakwa mendapat kerja melalui aplikasi WeChat dan hanya berhubung dengan 'majikan' serta menerima arahan di aplikasi yang sama.

Menurutnya, setiap suspek menerima lima peratus komisen hasil penipuan itu.

Kesemua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaaan.

TELITI.. Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar melihat laman web yang digunakan anggota sindiket dalam serbuan di Medini, Iskandar Puteri petang semalam. Foto oleh Hazri A Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 1:38 PM