DZULKHAIRI Mukhtar (kiri) menunjukkan barang rampasan kes pecah rumah pada sidang media di IPD Iskandar Puteri. FOTO Nurul Amanina Suhaini
DZULKHAIRI Mukhtar (kiri) menunjukkan barang rampasan kes pecah rumah pada sidang media di IPD Iskandar Puteri. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini

Iskandar Puteri: Rumah tidak berpenghuni ditinggalkan pemilik yang bekerja di Singapura, itu sasaran tiga penjenayah yang aktif kegiatan pecah rumah di daerah ini, sejak dua bulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatan terbabit tumpas selepas tiga penagih dadah termasuk seorang wanita ditahan polis dalam dua serbuan dijalankan di kawasan parkir di Lebuh Medini Utara, Bandar Medini Iskandar dan tepi Jalan Panglin 6, Taman Perling, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, tangkapan itu susulan laporan diterima daripada kontraktor berusia 43 tahun memaklumkan rumah rakannya di Taman Bukit Indah 2, di sini, dipecah masuk, Sabtu lalu.

Menurutnya, selain mendapati pintu automatik hadapan rumah terbuka, kereta Honda Accord milik rakannya yang berada di Singapura itu hilang, selain keadaan rumah terbabit berselerak dengan kerugian dialami kira-kira RM50,000.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri membuat tangkapan ke atas tiga individu berusia antara 30 hingga 53 tahun, sekitar 8.45 malam tadi.

"Ketiga-tiga individu yang aktif melakukan jenayah itu sejak dua bulan lalu mempunyai rekod lampau yang mana lelaki berusia 53 tahun mempunyai 37 rekod lampau dan lelaki berusia 43 tahun memiliki 23 rekod lampau, manakala wanita berusia 30 tahun pula mempunyai tiga rekod lampau.

"Hasil soal siasat awal dijalankan mendapati dua daripada suspek terbabit dalam lima kes pecah rumah di kawasan Iskandar Puteri, Johor Bahru Utara, Segamat dan Kota Tinggi," katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri, di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, polis turut merampas kereta Honda Accord dan Volkswagen Jetta, 11 telefon pelbagai jenama, sebutir peluru hidup bersaiz 9 milimeter (mm) serta pelbagai peralatan pecah rumah.

Katanya, turut dirampas, satu beg kecil mengandungi dua plastik dadah heroin seberat 6.72 gram dan satu plastik dadah syabu seberat 4.10 gram.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif methamphetamine dan direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Khamis ini, selain kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 4:54 PM