Mohd Sabran Md Sani


POLIS menahan tujuh ahli sindiket Macau Scam warga China dalam serbuan ke atas banglo tiga tingkat di Taman Bukit Indah di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan dilakukan pasukan risik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, pada jam 3.30 petang.

Katanya, tujuh warga China berusia 20 hingga 30-an ditahan bersama pelbagai barangan termasuk komputer riba, telefon bimbit dan penghala (router) bernilai RM20,000.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati sindiket dipercayai baharu sebulan menjalankan aktiviti itu menjadikan banglo tiga tingkat itu sebagai markas operasi.

“Modus operandi mereka tidak banyak beza, hanya menyamar sebagai agensi kerajaan dan menggunakan alasan mangsa disenarai hitam untuk menakutkan mereka.

“Panik mendorong mangsa percaya taktik penipuan sebelum menanggung kerugian besar,” katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Menurutnya, kebanyakan mangsa membabitkan rakyat tempatan dan sindiket itu turut menggunakan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris untuk menipu mangsa.


Katanya, pihaknya kini menyiasat kegiatan sindiket terbabit sama ada mempunyai hubung kait dengan kes tangkapan di Cyberjaya.

“Siasatan mendapati mereka masuk ke Malaysia menggunakan visa pelawat dan terbukti mereka menyalahgunakan kebenaran itu untuk melakukan penipuan.

“Semua suspek ditahan reman 14 hari bermula 4 Januari hingga 17 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan sebarang panggilan telefon yang diterima daripada individu tidak dikenali,” katanya.

Menurutnya, sekiranya menerima panggilan meragukan daripada agensi kerajaan dan diarahkan membuat sebarang pembayaran, mangsa dinasihatkan merujuk kejadian itu ke balai polis berhampiran.

Orang ramai juga katanya, boleh melaporkan kepada polis jika melihat kehadiran warga China yangn ramai di penempatan mereka bagi membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 1:43 PM