FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Luqman Arif Abdul Karim


Shah Alam: Kajian untuk memberikan kelonggaran kepada individu yang memperoleh suntikan imunisasi lengkap dibuat bersandarkan beberapa faktor.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merangkumi model pelaksanaan yang digunakan negara jiran dan fakta sains, selain kebimbangan diutarakan pelbagai pakar kesihatan.

Kata beliau, sebarang keputusan dimuktamadkan Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung perkara itu akan dibuat secara menyeluruh, bagi mengelak risiko penularan jangkitan pada masa depan.

"Kita ambil maklum semua perkara, termasuk kebimbangan pakar seperti dalam laporan muka depan akhbar hari ini.

"Ada pihak yang bimbang dan minta supaya terus kuatkuasakan larangan rentas negeri serta daerah, tetapi berkemungkinan beberapa pengecualian berupaya diberikan.

"Contoh, pasangan jarak jauh yang masing-masing sudah lengkap suntikan imunisasi, maka kita boleh benarkan mereka rentas daerah dan negeri untuk berjumpa.

"Jawatankuasa Teknikal MKN sedang buat kajian, kita tiada garis masa bila ia akan dimuktamadkan kerana perlu diperhalusi secara berhati-hati," katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, beliau meninjau operasi kilang Pharmaniaga Berhad di sini, dan menyaksikan penyerahan kelompok terakhir bekalan vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal berkenaan.

Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Ismail Sabri berkata, negara jiran termasuk Singapura masih giat mempertimbangkan kelonggaran kepada penerima dos lengkap vaksin, memandangkan situasi semasa pandemik Covid-19 yang berubah-ubah.

Kata beliau, Singapura sebelum ini membenarkan kelonggaran untuk makan di kedai namun mula menarik balik keputusan berkenaan kerana bimbang risiko penularan jangkitan.

"Justeru, ia petanda bahawa kita tidak boleh ambil ringan mengenai keputusan memberikan kelonggaran kepada penerima dos lengkap vaksin ini.

"Bagaimanapun, kita juga ambil kira keperluan memberikan kelonggaran kepada jenis perniagaan yang sudah memberikan suntikan imunisasi kepada semua pekerjanya.

"Selain itu, jenis perniagaan tertentu ini tidak merekodkan sebarang rekod pembentukan kluster Covid-19, justeru ada asas tertentu yang diambil kira sebelum kita beri kelonggaran untuk beroperasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 8:35 PM