Suspek melarikan lori pengangkut barang milik sebuah syarikat perkakasan di Sibu Jaya, Sibu,ditangkap pihak polis. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Suspek melarikan lori pengangkut barang milik sebuah syarikat perkakasan di Sibu Jaya, Sibu,ditangkap pihak polis. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


Sibu: Hanya untuk bersiar-siar. Itu alasan diberikan lelaki berusia 21 tahun yang ditahan polis selepas melarikan lori pengangkut milik sebuah syarikat perkakasan di Sibu Jaya di sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.23 tengah malam itu, kelibat mencurigakan suspek dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sedang berkeliaran di belakang kedai itu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, syarikat keselamatan kemudian memaklumkan pemilik syarikat berkenaan yang berada di Julau pada masa itu untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa.

"Lori dilarikan suspek adalah untuk kegunaan mengangkut barang dari kedai ke tempat pelanggan.

"Pemilik syarikat tidak menolak kemungkinan pemandu lori yang bekerja dengan syarikatnya terlupa mencabut kunci dalam lori selepas selesai bekerja pada sebelah petang hari kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, suspek berjaya ditangkap anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang dibantu Unit Kereta Peronda Polis (MPV) sekitar jam 3.13 pagi di Jalan Tunku Abdul Rahman.

"Semasa ditahan suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah. Dia (suspek) mengatakan hanya melarikan lori berkenaan untuk bersiar-siar sebelum ditahan.

"Semakan juga mendapati, suspek pernah ditangkap kerana mencuri kereta pada tahun 2016 dan dipenjarakan selama tiga tahun.

"Suspek kini ditahan reman selama tiga hari hingga 19 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Peraturan Pendaftaran Negara 1990," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 3:47 PM