TIGA kanak-kanak yang terselamat  selepas cuba dilarikan di Jalan Bayam, Kota Bharu.
TIGA kanak-kanak yang terselamat selepas cuba dilarikan di Jalan Bayam, Kota Bharu.
Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Sehari selepas seorang kanak-kanak tujuh tahun diculik di Masjid Muhammadi, di sini, tiga kanak-kanak cuba dilarikan seorang lelaki yang mengumpan mereka dengan bersiar-siar menaiki kereta, Sabtu lalu.

Tiga kanak-kanak terbabit ditemui suspek berusia 29 tahun itu di Jalan Bayam, di sini, sebelum dipelawa bersiar-siar menaiki kereta Perodua Viva dan dijanjikan hadiah termasuk pakaian.

Bagaimanapun, selepas 48 jam dalam ‘jagaan’ lelaki itu, kanak-kanak terbabit, dua lelaki berusia 13 dan 9 tahun serta seorang perempuan, 9, diselamatkan polis selepas mereka melarikan diri satu kilometer ketika suspek sedang berurusan dengan kaunter hotel di Jalan Kebun Sultan, di sini, jam 1.30 pagi, semalam.

Menceritakan kejadian itu, seorang kanak-kanak terbabit berkata, dia dan rakan selesai menonton perlawanan akhir bola sepak Piala FA di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, sebelum didekati suspek.

“Dia pelawa naik kereta dan beritahu mahu bawa kami bersiar-siar dan makan. Apabila kami masuk ke dalam kereta, sudah ada seorang budak perempuan berusia sembilan tahun.

“Dia bawa kami hingga ke sempadan Rantau Panjang dan beritahu rancangan bersiar-siar ke Sungai Golok, tetapi kami bernasib baik kerana pintu sempadan ditutup ketika itu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini, semalam.

Menurutnya, mereka dibawa ke rumah suspek di Bachok sebelum mengubah laluan ke Gua Musang.

Katanya, suspek berpatah balik ke Kota Bharu dan mereka ditinggalkan di sebuah hotel di Jalan Kebun Sultan untuk berehat.

“Ketika dia keluar berurusan dengan kaunter hotel, kami melarikan diri hingga ke kawasan sekitar stadium dan bertemu polis yang meronda,” katanya.

Katanya, dia menangis sebelum mereka mengambil peluang melarikan diri selepas suspek keluar bilik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut masih dilakukan.

Katanya, laporan kehilangan kanak-kanak itu dibuat ibu kanak-kanak perempuan terbabit selepas mendapati anaknya tidak pulang ke rumah sebaik ke kedai jam 3 petang, Sabtu lalu.

“Pemeriksaan terhadap semua mangsa didapati mereka tidak mengalami kecederaan fizikal,” katanya.

Beliau berkata, suspek berusia 29 tahun kini ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 10:12 AM