ANTARA ibu bapa yang membawa keluarga bersiar-siar di ibu kota menggunakan pengangkutan MRT.
ANTARA ibu bapa yang membawa keluarga bersiar-siar di ibu kota menggunakan pengangkutan MRT.
Garret Dawum

Kuala Lumpur: Lokasi perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) yang berdekatan pusat beli-belah mendorong ibu bapa menggunakan pengangkutan awam moden itu membawa anak bersiar-siar sempena cuti hujung minggu kerana ia mudah dan selesa.

Tinjauan Harian Metro di beberapa stesen seperti Muzium Negara, Bukit Bintang, Cochrane, Maluri dan Pasar Seni mendapati laluan berkenaan menjadi pilihan dan lokasi tumpuan penumpang untuk disinggahi.

Pegawai kerajaan Zusmaidi Abdul Aziz, 33, berkata dia dan isteri Norhidayah Johari, 33, serta dua anak mereka tidak melepaskan peluang bersiar-siar menaiki pengangkutan awam itu buat kali pertama.

“Hujung minggu adalah masa sesuai saya bersama keluarga. Jadi, saya ambil kesempatan ini melawat tempat berdekatan dengan stesen seperti Muzium Negara.

“Sambil menaiki MRT, kami dapat melawat tempat menarik di sekitar stesen, selain mengelak daripada kesesakan jalan raya,” katanya.

Kemudahan MRT SBK fasa kedua yang dibuka kepada pengguna 17 Julai lalu menyediakan pelbagai akses kepada pengguna membabitkan 43 pusat beli-belah, pasar raya, pasar basah, restoran makanan segera dan kedai barangan.

Selain selesa dan pantas, guru, Suyanti Mohd Jonit, 39, turut mengambil kesempatan membawa anak lelakinya berusia tujuh tahun, Arif Zikri Airi bersiar-siar di beberapa stesen sekitar ibu kota.

“Saya cuma memandu kira-kira 10 minit dari rumah di Bandar Baru Bangi dan parkir di Stesen Kajang. Memang berpuas hati dengan kemudahan baru ini dan saya serta keluarga mungkin akan menggunakannya dengan lebih kerap lagi,” katanya.

Pegawai bank, Muda Ariffin, 51, berkata, kemudahan itu begitu selesa dan memudahkan pergerakannya yang sering berulang-alik menggunakan pengangkutan awam dari rumah di Kajang ke tempat kerja di KL Sentral.

“Sebelum ini saya menggunakan perkhidmatan Komuter dari Stesen Kajang untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja. Namun, kini ada satu lagi pilihan iaitu MRT yang selesa dan paling penting, banyak stesen disediakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 8:35 AM