Lokasi serpihan tulang mangsa ditemui di kawasan hutan belakang rumah mangsa di Kampung Kipaliu, Ranau.
Lokasi serpihan tulang mangsa ditemui di kawasan hutan belakang rumah mangsa di Kampung Kipaliu, Ranau.
Juwan Riduan

Ranau: Seorang lelaki dipercayai bukan sahaja membunuh malah membakar saudaranya sendiri sebelum serpihan tulang mangsa ditemukan dalam hutan di Kampung Kipaliu di sini, semalam.

Mangsa lelaki berusia 68 tahun ditemukan oleh keluarganya berdasarkan penemuan tulang yang dibakar di kawasan hutan belakang rumah mangsa, kira-kira 3 petang.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima laporan pengadu yang juga anak saudara kepada mangsa dan suspek, jam 9.43 malam.

Katanya, pengadu memaklumkan menemui serpihan tulang disyaki tulang manusia yang dibakar di kawasan hutan belakang rumah mangsa.

"Serpihan tulang itu dipercayai milik bapa saudaranya yang hilang pada 16 April lalu.

"Bagaimanapun semua serpihan tulang yang ditemui akan dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu untuk tujuan analisa perbandingan DNA," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Simiun berkata, hasil siasatan menahan seorang lelaki berusia 50 tahun yang juga anak saudara kepada mangsa.

"Suspek ditahan tidak jauh dari lokasi kejadian untuk membantu siasatan. Polis masih dalam proses siasatan termasuk mengenalpasti motif sebenar kejadian," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, Simiun berkata, polis menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini yang boleh mengganggu siasatan serta menggugat ketenteraman awam.

"Polis masih menjalankan siasatan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Polis Daerah Ranau di talian 088-875222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 3:16 PM