KEADAAN di luar Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Dewan Taman Sri Andalas, Klang. FOTO Faiz Anuar.
KEADAAN di luar Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Dewan Taman Sri Andalas, Klang. FOTO Faiz Anuar.
Norzamira Che Noh


Klang: Risiko jangkitan terhadap penduduk berdekatan Pusat Penilaian Covid-19 di Dewan Taman Sri Andalas adalah sangat rendah berikutan jarak rumah terdekat melebihi dua meter.

Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang dalam kenyataan yang dimuatnaik di Facebook memaklumkan, Covid-19 berjangkit melalui sentuhan atau melalui titisan cecair (droplets) ketika bernafas, bercakap dan batuk dalam jarak satu ke dua meter.

Menurut kenyataan itu, jangkitan secara aerosol (bawaan udara) adalah lebih tinggi dalam bangunan atau ruang tertutup tanpa pengudaraan yang baik.

"Risiko jangkitan secara bawaan udara kepada penduduk Taman Sri Andalas adalah sangat rendah kerana jarak antara dewan ke rumah terdekat adalah melebihi dua meter.

"Risiko jangkitan daripada pesakit yang beratur kepada komuniti juga adalah minimum kerana mereka berada di luar bangunan yang mana kepekatan zarah virus adalah rendah kerana pengudaraan yang baik," katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu, dewan sukan itu dipilih sebagai lokasi CAC kerana lokasi yang berhampiran dengan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) iaitu dalam jarak satu kilometer.

Menurutnya, ia amat memudahkan ambulans menghantar kes Covid-19 kategori empat dan lima ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Dewan berkenaan juga bersaiz besar dan memenuhi keperluan CAC, termasuk ruang pendaftaran, penilaian doktor, pemotongan gelang dan borang kuarantin, katil pemerhatian dan rawatan yang dilengkapi tong bekalan oksigen," katanya.

Sebelum ini, penduduk di Taman Sri Andalas dalam keadaan bimbang serta gusar apabila CAC dibuka di dewan yang berdekatan dengan kawasan rumah mereka.

Berikutan itu, surau berdekatan dewan berkenaan juga ditutup kerana Ahli Jawatankuasa surau bimbang berlaku jangkitan dalam kawasan itu.

Susulan itu, penduduk menggesa lokasi CAC berkenaan dipindahkan ke tempat yang jauh dari taman perumahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 9:03 PM