Nuraliawati Sabri

Melaka: Alasan kononnya tidak faham dan keliru. Itu antara jawapan diberikan wakil pengurusan syarikat selepas premis mereka didapati tidak mempunyai surat kebenaran beroperasi dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) meskipun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sudah memasuki fasa 3.0.

Penolong Ketua Unit Cawangan Pengurusan Srata Bahagian Perkhidmatan Perbandaran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Sarjan Mejar Abu Bakar Ahmad berkata, alasan paling kerap diterima pihaknya ketika operasi dijalankan walaupun ia tidak sepatutnya berlaku.

"Ada juga mengatakan tidak faham malah PKP kita pun sudah berlanjutan sejak lebih setahun. Pelik apabila mereka beroperasi tanpa surat kebenaran MITI.

"Kita sudah lama (PKP), sepatutnya sudah faham. Mereka boleh rujuk dan mohon kepada COB (Unit Pesuruhjaya Bangunan)," katanya selepas operasi Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS) dan Pematuhan SOP COVID-19 Dalam Kawasan Pemajuan Berstrata dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman bersama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di Bukit Katil di sini, tadi.

SARJAN Major Abu Bakar Ahmad berucap pada sidang media tinjauan Ops Pemantauan CIMS dan Pematuhan SOP Covid-19  di Kota Cemerlang, Ayer Keroh, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
SARJAN Major Abu Bakar Ahmad berucap pada sidang media tinjauan Ops Pemantauan CIMS dan Pematuhan SOP Covid-19 di Kota Cemerlang, Ayer Keroh, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad

Beliau berkata, sejak Jun lalu sehingga semalam, sebanyak lima kompaun berjumlah RM50,000 dikeluarkan pihaknya di kawasan pemajuan berstrata seluruh Semenanjung.

"Kompaun itu dikeluarkan hasil daripada pemeriksaan ke atas 73 Skim Strata Semenanjung Malaysia sejak awal pelaksanaan PKP sehingga semalam.

"Antara kesalahan dikesan adalah tidak memohon surat kebenaran operasi daripada MITI dan kehadiran pekerja melebihi 60 peratus seperti yang sudah ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 8:00 PM