Azmin Ali.
Azmin Ali.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Sejumlah 586,308 sektor perkhidmatan perlu membabitkan 10.2 juta pekerja sudah berdaftar dengan Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 setakat ini.

Bagaimanapun, hanya 128,150 surat kebenaran beroperasi dicetak melalui CIMS 3.0 membabitkan 1.57 juta pekerja di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sehingga kini, sebanyak 15 kementerian menggunakan sistem CIMS 3.0 bagi memudahkan proses penilaian permohonan kebenaran untuk beroperasi di bawah sektor masing-masing.

Menurutnya, selepas kementerian mengesahkan permohonan berkenaan, syarikat terbabit boleh terus mencetak surat kebenaran beroperasi melalui CIMS 3.0.

Namun katanya, terdapat beberapa kementerian seperti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) dan yang menggunakan sistem kelulusan kebenaran bekerja yang diselaras oleh kementerian itu.

"Kementerian Pengangkutan turut menggunakan sistem dalaman Sistem SMILE (Sistem Maklumat Industri Logistik) bagi tujuan yang sama.

"Jadi, surat kelulusan untuk beroperasi bukan sahaja dikeluarkan Miti, tetapi ada juga yang dikeluarkan kementerian lain dan terbukti sistem yang diwujudkan adalah berkesan untuk kumpulan sasaran mereka," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) juga bertanggungjawab di atas surat kebenaran beroperasi untuk institusi kewangan dan perbankan.

Menurutnya, Miti bukan penentu tunggal dalam memutuskan sama ada sesuatu sektor perniagaan dianggap sebagai perkhidmatan penting atau sebaliknya.

Bagaimanapun katanya, Miti juga mengambil maklum aduan beberapa pihak yang mendakwa CIMS 3.0 dibolosi dan mendapat kelulusan walaupun berada di bawah sektor yang tidak dibenarkan beroperasi.

"Miti terbuka kepada sebarang bentuk aduan atau kritikan mengenai sistem CIMS 3.0 demi menjamin ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan sistem ini.

"Miti melalui unit penguatkuasaan bersama dengan kerjasama agensi penguat kuasa yang lain akan terus memantau dan mengawal pelaksanaan SOP PKP 3.0," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 2:45 PM