TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah membabitkan pelaburan tidak wujud dan memperdayakan dalam penjualan motosikal berkuasa tinggi. FOTO  NURALIAWATI SABRI.
TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah membabitkan pelaburan tidak wujud dan memperdayakan dalam penjualan motosikal berkuasa tinggi. FOTO NURALIAWATI SABRI.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas tiga pertuduhan menerima deposit wang pelaburan tanpa lesen sah membabitkan nilai RM125,000.

Tertuduh, Iskandar Isahak, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang kini tidak lagi bekerja didakwa menerima deposit wang pelaburan daripada tiga individu bernilai keseluruhan RM125,000 ke dalam akaun syarikat miliknya tanpa lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di Jalan Hang Tuah, antara 10 Mei 2016 sehingga 27 Jun tahun sama.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad yang tidak menawarkan jaminan bagaimanapun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan jumlah jaminan RM70,000 bagi setiap pertuduhan mengambil kira faktor kerugian ditanggung mangsa.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran serta tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan selain menetapkan 16 Ogos depan tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret tertuduh turut mengaku tidak bersalah memperdayakan seorang lelaki berusia 46 tahun dengan menawarkan pembelian motosikal kuasa tinggi menyebabkan mangsa menyerahkan cek bernilai RM32,000 pada Oktober 2016.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob.

Bagi pertuduhan itu, Majistret Lee Kim Keat membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dan mahkamah menetapkan 14 September depan bagi sebutan semula kes.

Tertuduh diwakili peguam Zulhelmi Wagiman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 1:07 PM