Raja Noraina Raja Rahim


PEMANDU peribadi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Seremban, hari ini atas 17 pertuduhan memindahkan wang milik lelaki Nepal ke akaunnya tanpa kebenaran.

Tertuduh, Mohamad Haikal Rosman Zahri, 31, membuat pengakuan itu dalam dua prosiding berasingan di hadapan Majistret V Vanita dan Majistret Mahyun Yusof.

Mohamad Haikal didakwa melakukan capaian tanpa kuasa dengan memindahkan wang milik Bhujel Dipchhan ke akaun miliknya secara fraud (penipuan) sebanyak 17 kali transaksi dengan jumlah RM4,580.

Tertuduh melakukan kesalahan itu pada Mei hingga Julai lalu di CIMB Bank Persiaran Senawang, Seremban dan didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.

Dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM150,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Atiqah Sapari dan Mas Syafiqah Mahroob, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan isterinya tidak bekerja dan dia perlu menyara seorang anak berusia tiga tahun.

Vanita kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi lapan pertuduhan dan menetapkan 19 September untuk sebutan semula kes.

Manakala, Mahyun pula membenarkan tertuduh diikat jamin RM22,500 bagi sembilan pertuduhan dan 13 September sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 4:13 PM
MOHAMAD Haikal mengaku tidak bersalah terhadap 17 pertuduhan memindahkan wang milik lelaki Nepal ke akaunnya. FOTO Hasriyasyah Sabudin.
MOHAMAD Haikal mengaku tidak bersalah terhadap 17 pertuduhan memindahkan wang milik lelaki Nepal ke akaunnya. FOTO Hasriyasyah Sabudin.