Balqis Jazimah Zahari
am@hmetro.com.my


Ipoh: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu akan diperluaskan ke seluruh negara.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mempertimbangkan untuk menambah lagi jumlah PPV menggunakan kaedah pandu lalu itu.

Menurutnya, perkara itu dalam perancangan susulan kejayaan projek rintis projek perintis di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

"Memang kita bercadang untuk memperbanyakkan lagi, sekarang ini Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Cheras sudah ada dan di daerah Kinta ini juga akan dibuat.

"Kaedah ini adalah baik dan lebih menyenangkan, jadi saya percaya selepas ini akan lebih banyak lagi PPV pandu lalu di setiap negeri," katanya selepas membuat lawatan kerja di PPV Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.

Dr Noor Azmi menjawab pertanyaan media selepas membuat lawatan ke ruang suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia hari ini. FOTO BERNAMA
Dr Noor Azmi menjawab pertanyaan media selepas membuat lawatan ke ruang suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia hari ini. FOTO BERNAMA

Noor Azmi berkata, kaedah itu selari dengan negara yang akan menerima ketibaan lebih banyak vaksin pada bulan ini terutama bagi Sinovac dan Pfizer.

Beliau berkata, difahamkan PPV pandu lalu di daerah Kinta akan dilaksanakan di Stadium Indera Mulia di sini, bermula 10 Jun ini.

"Pihak pengurusan sudah mengadakan Mesyuarat dan mendapat persetujuan konsensus bagi mengadakan PPV Pandu lalu di Stadium Indera Mulia.

"Saya difahamkan, bagi PPV di daerah Kinta ini akan dibuat pada dos kedua dan ia tentu lebih menyenangkan kerana bilangan penerima sedia ada 1,800 sebelum ini akan ditambah kepada 2,400 sehari dengan adanya PPV pandu lalu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 8:11 PM