Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Polis Johor melumpuhkan satu sindiket pelacuran menggunakan aplikasi Michat, sebagai medium untuk mengiklan, mempromosi dan berhubung dengan pelanggan, yang aktif sejak Mei lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia hasil operasi bersepadu, Op Noda dijalankan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama enam daerah pentadbiran polis, antara jam 6.30 petang hingga 10 malam, Sabtu lalu.

Katanya, sebanyak tujuh premis diserbu membabitkan dua hotel bajet, tiga apartmen dan masing-masing sebuah rumah kediaman dan rumah kedai.

"Dalam operasi berkenaan seramai 26 individu membabitkan lapan lelaki tempatan dan dua lelaki warga India yang bertindak sebagai penghantar dan penjaga premis ditahan.

"Turut ditahan 16 pekerja seks yang terdiri daripada warga Vietnam dan Thailand termasuk seorang wanita tempatan. Kesemua yang ditahan berusia antara 21 hingga 54 tahun.

"Modus operandi sindiket persundalan ini menggunakan Michat sebagai medium untuk berkomunikasi dengan pelanggan. Sindiket ini menjadikan rumah kedai, kediaman dan apartment sebagai lokasi aktiviti pelacuran mungkin kerana hotel tidak beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Ahli sindiket akan memberikan beberapa gambar pekerja seks wanita kepada pelanggan menerusi akaun Michat untuk dipilih sebelum memberikan maklumat lokasi pertemuan dengan pelacur yang dipilih dihantar ke situ," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di IPK Johor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas 37 unit telefon, 346 keping kondom, empat botol minyak pelincir, empat helai tuala, tiga tisu basah, satu gulung tisu, dua tiub KY Jelly, enam resit homestay selain empat kereta yang digunakan 'penghantar' pelacur selain wang tunai berjumlah RM14,511.

AYOB menunjukkan barang rampasan berkaitan sindiket pelacuran selepas sidang media di IPK Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
AYOB menunjukkan barang rampasan berkaitan sindiket pelacuran selepas sidang media di IPK Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.

Katanya, pelanggan dikenakan caj antara RM200 hingga RM300 bergantung pada pekerja seks yang dipilih dengan bayaran akan dibuat kepada penghantar.

Beliau berkata, setiap pekerja seks akan dibayar upah antara RM100 hingga RM120 bagi setiap perkhidmatan manakala penghantar pula dibayar antara RM4 hingga RM10 mengikut penghantaran dan jarak.

"Bagi kegiatan persundalan ini, sindiket memperoleh keuntungan antara RM100 hingga RM120 hasil dari setiap pekerja seks.

"Kesemua pekerja seks warga Vietnam dan Thailand ini berada di dalam negara sebelum PKP lagi menggunakan pas lawatan sosial," katanya.

Ayob Khan berkata, suspek warga tempatan yang ditahan, kini direman antara tiga hingga enam hari, manakala bagi suspek warga asing ditahan mengikut Akta Imigresen selama 14 hari mulai 11 hingga 24 Julai.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan akan disiasat mengikut kesalahan mengikut Seksyen 373 Kanun Keseksaan dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sejak awal tahun hingga Sabtu lalu, Polis Johor melakukan 155 serbuan Op Noda di seluruh negeri ini dan menahan 691 individu termasuk pekerja seks selain merampas wang tunai berjumlah RM72,069.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 4:49 PM