GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


SINDIKET pelacuran di Johor beralih kepada penggunaan aplikasi WeChat dan MiChat bagi menawarkan perkhidmatan pelacur tempatan dan warga asing bagi menyukarkan ia dikesan pihak berkuasa.

Lebih rumit bapa ayam menggunakan nama samaran dan nombor kad pengenalan palsu ketika membuat tempahan bilik hotel bajet bagi membolehkan pelacur jagaan mereka menawarkan perkhidmatan sekali gus menyebabkan mereka sukar dikesan.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, taktik berkenaan bagaimanapun tidak mampu menghalang operasi dan serbuan bagi membanteras aktiviti pelacuran warga asing yang didalangi rakyat tempatan.

Katanya, modus operandi menggunakan aplikasi WeChat dan MiChat itu membolehkan pelanggan terus berhubung dengan pelacur bagi mendapatkan perkhidmatan tanpa perlu pembabitan orang tengah terutama bapa ayam sekali gus identiti sebenar mereka tidak dapat dikenal pasti.

"Sebanyak 40 serbuan dengan seramai 299 pelacur warga asing berjaya ditahan dalam Ops Noda yang dijalankan antara 1 Julai hingga Jumaat lalu.

"Ia membabitkan seramai 222 pelacur tempatan dan 77 pelacur warga asing iaitu China (4), Filipina (3), Indonesia (18), Thailand (13) dan Vietnam (39).

"Selain itu, bagi tempoh Januari hingga semalam (kelmarin) pula, sebanyak 276 serbuan dengan 1,503 pelacur tempatan dan warga asing ditahan menerusi Ops Noda.

"Ia membabitkan 725 pelacur tempatan dan 778 pelacur warga asing iaitu China (26), Filipina (10), Indonesia (62), Myanmar (8), Thailand (376), Vietnam (279), Kemboja (2), Laos (6), Sri Lanka (1), Bangladesh (2) dan Korea Selatan (6)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor Bahru, hari ini.

Ayob Khan berkata, polis akan terus meningkatkan pemantauan berterusan bagi mengekang aktiviti maksiat terutama pelacuran di negeri ini.

"Sekiranya orang awam mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pelacuran mahu pun perjudian di kawasan perumahan mereka, aduan boleh dibuat kepada Bilik Gerakan Kontinjen Johor di talian 07-2254074," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 3:11 PM