ISMAIL Sabri menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas di Perdana Putra hari ini. Turut sama Mohd Zuki (kiri). FOTO Bernama.
ISMAIL Sabri menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas di Perdana Putra hari ini. Turut sama Mohd Zuki (kiri). FOTO Bernama.
BERNAMA

Putrajaya: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memasuki Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Perdana Putra, di sini bagi memulakan tugasnya sebagai pemimpin nombor dua dalam pentadbiran kerajaan.

Bersut serba biru, ketibaan Ismail Sabri di perkarangan Kompleks Perdana Putra pada jam 10 pagi disambut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Jamil Rakon.

Ismail Sabri, 61, dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Rabu lalu selain dikekalkan memegang portfolio Menteri Kanan Pertahanan.

Ismail Sabri mengimbas kad perakam waktu sebelum memasuki pejabatnya di Aras 4 dan kemudian menandatangani Buku Selamat Datang, diikuti bacaan doa yang dipimpin oleh Pegawai Integriti JPM Muhd Redza Ahmad.

Beliau kemudiannya menghadiri Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara maya bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Putra menempatkan pejabat utama dalam pentadbiran negara seperti Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Ketua Setiausaha Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 11:16 AM