YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan Perdana Menteri Kesembilan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Negara hari ini. FOTO Bernama
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan Perdana Menteri Kesembilan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Negara hari ini. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan kekal komited memikul amanah menjaga keselamatan negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM merakamkan ucapan tahniah dan syabas atas pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah.

"PDRM akan terus kekal komited dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan dalam menjaga keselamatan negara dan menjunjung kedaulatan undang-undang.

"Demi kesejahteraan masyarakat serta negara di bawah kepimpinan beliau," katanya pada kenyataan hari ini.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara sebentar tadi.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, jam 2.30 petang.

Ismail Sabri kemudian menandatangani dokumen-dokumen berkaitan sambil disaksikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebelum istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Dr Luqman Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 4:28 PM