BARISAN kabinet Ismail Sabri akan mengangkat sumpah esok di hadapan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. FOTO BERNAMA
BARISAN kabinet Ismail Sabri akan mengangkat sumpah esok di hadapan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 31 menteri dan 38 timbalan menteri akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, di sini, esok.

Turut dijangka berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Selain itu, istiadat dijadual bermula 2.30 petang itu akan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Kesemua mereka diumum sebagai ahli pentadbiran negara oleh Ismail Sabri Jumaat lalu, tujuh hari selepas beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Seri Paduka pada 20 Ogos lalu.

Ismail Sabri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

Menamakannya 'Kabinet Berorientasikan Hasil', Ismail Sabri berkata, senarai ahli pentadbiran baharu itu adalah satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan 'Keluarga Malaysia'.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 3:42 PM