BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan membuka lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) kepada golongan sasar, bagi mempercepatkan sasaran imuniti kelompok sekali gus menjayakan matlamat Pelan Pemulihan Negara.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata bagi tujuan itu, KPWKM menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk kementerian lain, agensi, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bagi memastikan proses vaksinasi disegerakan.

"Sebagai contoh, lebih 50 peratus daripada 2.4 juta warga emas yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin sudah pun menerimanya, selain 10 peratus dalam kalangan mereka selesai dua dos.

"Bagi kumpulan Orang Kurang Upaya (OKU) juga vaksinasi sedang giat dijalankan dan selain PPV di Kompleks MAB (Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia) dan PPV pandu lalu pertama untuk OKU, kita akan buka lagi PPV khas untuk kumpulan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penyerahan sumbangan bakul makanan di PPR Desa Rejang, yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dari 18 Jun hingga 1 Julai.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun bercakap ketika sidang media untuk menyerahkan kotak Prihatin Rakyat untuk diagihkan kepada penduduk Perumahan Awam Desa Rejang yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 18 Jun. FOTO  AZIAH AZMEE
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun bercakap ketika sidang media untuk menyerahkan kotak Prihatin Rakyat untuk diagihkan kepada penduduk Perumahan Awam Desa Rejang yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 18 Jun. FOTO AZIAH AZMEE

Di samping itu Rina berkata, KPWKM juga menggerakkan sukarelawan di bawah agensinya termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Yayasan Kebajikan Negara dan Skuad Prihatin Negara, untuk turut serta dalam proses pendaftaran dan advokasi kumpulan sasar.

Dalam pada itu, Rina menggesa supaya pemberian vaksin kepada kanak-kanak disegerakan, memandangkan lebih 82,000 dalam kalangan itu sudah dijangkiti Covid-19.

Katanya, proses vaksinasi kepada pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga perlu diberi keutamaan, bagi melindungi golongan itu.

Pada sesi penyerahan sumbangan itu, sebanyak 3,000 bakul makanan yang merangkumi keperluan asas diagihkan kepada penduduk di PPR Desa Rejang yang terjejas.

Selain itu, JKM turut menyelaras dan mengagihkan sumbangan yang diberikan oleh pihak lain termasuk NGO, bagi membantu keperluan khas penduduk di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 2:11 PM