KAUTHAR (kiri) dan Izhany Soffiya (kanan). FOTO Ihsan JKM
KAUTHAR (kiri) dan Izhany Soffiya (kanan). FOTO Ihsan JKM
Suraya Roslan


"TOLONG jaga anak saya, isteri saya sudah meninggal dunia,".

Itu kata-kata terakhir seorang lelaki sebelum meninggalkan kanak-kanak sindrom down kepada seorang wanita, empat tahun lalu di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Bandar Putra 2, Klang.

Kanak-kanak dinamakan Kauthar Kamilah kini berusia empat tahun dengan nombor sijil kelahiran 022577QA dan lahir pada 28 Mac 2016 ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Seremban, Negeri Sembilan sejak berusia 11 bulan.

Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Klang dalam satu kenyataan memaklumkan, Kauthar pada mulanya dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang oleh seorang wanita yang mengaku menerima kanak-kanak itu jam 3 pagi, 28 Mac 2016.

"Lelaki itu hanya menyebut tolong jaga anak saya, isteri saya sudah meninggal dunia sebelum berlalu pergi menaiki sebuah kereta Proton Saga berwarna putih.

"Selepas hampir 11 bulan dirawat di HTAR, kanak-kanak itu ditempatkan di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga kini dan kami sedang mengesan waris," katanya.

Selain itu, bagi kes kedua, seorang bayi perempuan dikenali Izhany Sofiyya yang lahir pada 24 Mac 2019 ditinggalkan oleh penjaga yang menghantar ke HTAR Klang selepas didapati dalam keadaan kritikal dan mengalami pendarahan otak serta berada dalam keadaan separuh sedar.

"Penjaga juga tidak pernah melawat Izhany sejak meninggalkannya di HTAR sementara ibu kandung dikenalpasti sebagai Nina Anggraini dan bapa Samsul Arifin, kedua-dua warga Indonesia juga tidak pernah muncul.

"Kini Izhany dalam keadaan stabil tetapi didiagnos pakar perubatan mengalami masalah kesihatan Cerebral Palsy dan perintah sementara meletakkannya di Taman Sinar Harapan Jitra, Kedah," katanya.

Sekiranya ibu bapa kandung atau waris dua kanak-kanak berkenaan mempunyai sebarang maklumat sila tampil atau menghubungi pegawai pelindung PKMD Klang, Nurzatulhain Mohd Othman di talian 03-3341 3703 atau 3913.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 6:00 PM