PENYERAHAN Bakul Prihatin - Rezeki Kasih. FOTO Ihsan MBSA
PENYERAHAN Bakul Prihatin - Rezeki Kasih. FOTO Ihsan MBSA
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sejumlah 2,700 Bakul Prihatin Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diserahkan kepada kumpulan sasar yang terkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor yang bermula 3 Julai lalu.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA berkata, sumbangan melalui Program Bakul Prihatin MBSA - Rezeki Kasih itu diberikan kepada kumpulan sasar di dalam kawasan pentadbiran MBSA.

"Penerima terdiri daripada operator dan pekerja taska, tadika serta pusat jagaan, pekerja-pekerja hotel, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas membantu MBSA semasa PKP, kru produksi seni kreatif, guru sekolah agama persendirian dan swasta serta kumpulan wartawan dan jurugambar sambilan.

"Bakul Prihatin MBSA - Rezeki Kasih itu diserahkan oleh Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan secara pandu lalu bertempat di perkarangan Teater Shah Alam di mana sesi penyerahan diadakan semalam dan hari ini.

"Bakul Prihatin MBSA - Rezeki Kasih yang bernilai RM50 itu mengandungi keperluan makanan asas, antaranya beras, Milo, bihun, gula kasar, tepung, minyak masak, bijirin oat, susu pekat," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut kenyataan itu, MBSA komited menggerakkan usaha murni dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan dan terjejas akibat pandemik Covid-19 semasa PKPD melalui program berkenaan.

"Inisiatif memberikan sumbangan Bakul Prihatin MBSA kepada beberapa kumpulan sasar di dalam kawasan pentadbiran MBSA adalah usaha MBSA bagi meringankan beban mereka," katanya.

Katanya, MBSA turut memberikan sumbangan kepada pesara MBSA serta 24 Zon Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Shah Alam di kawasan pentadbiran MBSA.

Selain membantu kumpulan sasar katanya, MBSA juga memberikan sumbangan Bakul Prihatin MBSA kepada kakitangan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, kakitangan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) MSU Medical Centre, dengan kerjasama bersama badan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM).

"Pemberian sumbangan ini akan diteruskan dengan mengenalpasti kumpulan masyarakat yang memerlukan bantuan akibat pandemik COVID-19.

"Orang ramai yang berhasrat menyumbang kepada golongan yang memerlukan ini boleh membuat pembelian pakej baucar makanan asas iaitu Pakej Aranda bernilai RM10 dan Pakej Mokara bernilai RM30.

"Pakej Vanda pula bernilai RM50 seperti beras, minyak, susu dan sebagainya, dan Pakej Caladenia bernilai RM50 (barangan nutrisi bayi). Semua ini boleh didapati di 80 premis 99 Speedmart di seluruh kawasan pentadbiran MBSA," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 8:44 AM