MOHD Khairuddin. FOTO Arkib NSTP
MOHD Khairuddin. FOTO Arkib NSTP
Mohd Iskandar Ibrahim

Kuala Lumpur: Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, mendoakan supaya negara lebih maju di bawah barisan Kabinet baharu pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mohd Khairuddin yang digugurkan daripada senarai Kabinet baharu itu turut mengucapkan tahniah kepada penggantinya, Datuk Zuraida Kamaruddin yang menerajui kementerian berkenaan.

"Tahniah kepada barisan menteri dan timbalan menteri yang baharu. Tahniah juga kepada Zuraida yang mengambil alih tugasan di Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

"Moga negara lebih maju dan jaya di bawah barisan Kabinet baharu diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mohd Khairuddin turut merakamkan tahniah kepada Senator Idris Ahmad yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Dr Nik Zawawi Saleh sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berharap, amanah dan tanggungjawab dapat digalas oleh barisan Kabinet baharu dengan cemerlang bagi menjayakan agenda utama negara.

"Alhamdulillah, tahniah diucapkan kepada ahli parlimen PAS yang dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri Kerajaan Persekutuan 2021. Tahniah juga diucapkan kepada semua barisan menteri dan timbalan menteri yang diumumkan oleh perdana menteri.

"Semoga amanah dan tanggungjawab yang ditaklifkan dapat digalas dengan cemerlang untuk menjayakan agenda utama negara dalam memerangi Covid-19 dan memulihkan ekonomi rakyat dan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 3:53 PM