AWAL Ashaari. FOTO Arkib NSTP
AWAL Ashaari. FOTO Arkib NSTP
Farah Marshita Abdul Patah

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi, di sini hari ini, mencadangkan supaya saman daripada syarikat hiasan dalaman, Naz Carpentry terhadap personaliti terkenal, Awal Ashaari diselesaikan melalui proses mediasi.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Nurshafiqa Balqish Jaffri yang mewakili Naz Empire Sdn Bhd, ketika dihubungi media.

Terdahulu, kes itu hari ini, ditetapkan untuk pengurusan secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache yang turut dihadiri peguam Muna Farhana Zainuddin yang mewakili Awal.

Nurshafiqa berkata, pada prosiding itu mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak untuk menyelesaikan kes itu secara mediasi.

"Sehubungan itu, mahkamah menetapkan pengurusan kes selanjutnya pada 3 September ini dan memaklumkan perkembangan lanjut mengenai perkara itu (mediasi)," katanya.

Katanya, mahkamah juga membatalkan saman terhadap dua lagi defendan dalam kes saman itu iaitu Nawal Yasmin Mat Noh dan Muhammad Hilmi Zulkifli selepas plaintif (Naz Empire) memfailkan notis untuk tidak meneruskan saman terhadap mereka kerana penyelesaian dibuat di luar mahkamah.

Sebelum ini, Naz Capentry pada 13 November tahun lalu mengemukakan saman berjumlah RM3 juta terhadap Awal kerana didakwa menjatuhkan imej, jenama dan reputasi syarikat serta pemilik syarikat terbabit di media sosial

Syarikat itu pada Februari lalu, sekali lagi memfailkan saman RM300,000 terhadap Awal yang didakwa melanggar kontrak.

Ia berikutan Awal dikatakan melanggar kontrak dengan memberhentikan syarikat terbabit daripada terus membuat kerja pengubahsuaian dan memungkiri perjanjian dipersetujui kedua belah pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 2:34 PM