PETUGAS Petugas kesihatan sampel ke dalam 'buffer tiub' sebelum diuji menggunakan mesin Biosenser F200 ketika tinjauan di Dewan Orang Ramai Kampung Sg Gulang Gulang, Kuala Selangor. FOTO Muhd Asyraf Sawal
PETUGAS Petugas kesihatan sampel ke dalam 'buffer tiub' sebelum diuji menggunakan mesin Biosenser F200 ketika tinjauan di Dewan Orang Ramai Kampung Sg Gulang Gulang, Kuala Selangor. FOTO Muhd Asyraf Sawal
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kajian Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mendapati dua peranti ujian kendiri (Rapid Antigen test) yang menggunakan air liur bagi saringan Covid-19, mencapai tahap sensitiviti 90 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, kajian yang dijalankan IMR telah selesai dan perincian panduan penggunaan kit ujian kendiri itu dijangka selesai pada minggu depan.

"Dua ujian kendiri air liur telah selesai dikaji oleh IMR dan kedua-dua mempunyai sensitiviti melebihi 90 peratus.

"MDA (Pihak Berkuasa Peranti Perubatan) sedang memperincikan panduan penggunaan dan insya-Allah akan selesai minggu depan," katanya menerusi ciapan dalam Twitter hari ini.

Pada Mei lalu, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat dua syarikat menawarkan kit ujian itu untuk dijual di farmasi tempatan.

Beliau dilaporkan berkata, menerusi penggunaan kit ujian air liur itu, individu tidak perlu hadir ke fasiliti kesihatan untuk membuat saringan awal bagi mengesan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 12:51 PM