Selasawati Ghazali
Selasawati Ghazali
BERNAMA

Kota Bharu: Sejumlah 202 pesakit mental di bawah seliaan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) telah melengkapkan suntikan vaksin masing-masing.

Pengarah HRPZ II Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata suntikan itu adalah bagi melindungi pesakit terbabit daripada jangkitan Covid-19.

Beliau berkata suntikan diberikan kepada pesakit di wad hospital dan mereka yang mendapatkan rawatan susulan di klinik serta lawatan ke rumah individu yang tidak dapat hadir kerana beberapa kekangan.

Dr Selasawati berkata pasukan perubatan HRPZ II juga telah memberi suntikan vaksin kepada sejumlah 168 warga emas yang terlantar.

"Warga emas (divaksinasi ialah) yang terlantar disebabkan penyakit yang dialami dan tidak berupaya hadir ke pusat pemberian vaksin kerana masalah kesihatan dan pengangkutan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan program outreach di Kampung Bechah Mulong dekat Melor hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga akan mengesan pesakit yang belum menerima vaksin Covid-19 dan mereka akan disuntik dengan vaksin dos tunggal CanSino.

Dr Selasawati berkata program outreach HRPZ II bertujuan memberi peluang kepada individu yang benar-benar inginkan vaksin tetapi tidak berupaya kerana pelbagai masalah selain faktor kesihatan.

"Kita mengambil inisiatif dengan datang terus kepada mereka dan memenuhi hasrat mereka untuk mendapatkan vaksin.

"Sebagai contoh, di Kampung Bechah Mulong hari ini kita telah berjaya menyuntik lima warga emas wanita berusia lingkungan 63 hingga 73 tahun termasuk Orang Kurang Upaya yang sebenarnya berada dalam komuniti rawatan HRPZ II," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 8:40 PM