KEBAKARAN berkenaan. FOTO Ihsan Bomba.
KEBAKARAN berkenaan. FOTO Ihsan Bomba.
Abdul Rahemang Taiming


Semporna : Enam rumah setinggan dan sebuah kedai runcit di Kampung Panji, dekat sini, musnah dalam kebakaran, 6 petang semalam.

Ketua Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Semporna, Fazizul Hizam Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.07 petang sebelum sepasukan anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, kebakaran dipercayai bermula dari salah sebuah rumah di perkampungan atas air itu sebelum merebak ke rumah berhampiran berikutan struktur binaan daripada papan selain kedudukannya yang rapat antara satu sama lain.

"Tindakan pantas anggota bomba mengawal api daripada merebak serta turut dibantu penduduk kampung berjaya menyelamatkan ratusan lagi rumah berdekatan daripada musnah terbakar.

"Kebakaran berjaya dikawal pada 7.54 sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya 9.30 malam," katanya ketika dihubungi.

Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan sementara punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 8:19 AM