KEADAAN rumah terbakar. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN rumah terbakar. FOTO Ihsan Bomba
Abdul Rahemang Taiming


“SAYA dikejutkan rakan sekerja yang terdengar letupan kuat sebelum melihat api marak di bahagian pintu utama,” kata pekerja kontrak, Rahmat Tahir, 33.

Lelaki itu antara sembilan penghuni sebuah rumah papan dua tingkat yang terselamat selepas kediaman di Taman Sempol, Semporna, itu terbakar, 3.30 pagi tadi.

Rahmat berkata, ketika kejadian, dia dan seorang rakannya yang tidur di tingkat atas rumah terbabit.

Katanya, rakan hanya menyedari kebakaran selepas papan suis utama di rumah itu meletup sebelum mereka menyelamatkan diri.

“Saya sempat menyelamatkan kereta milik syarikat sebelum menghubungi bomba. “Kami bersyukur kerana terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Semporna, Fazizul Hizam Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.43 pagi sebelum lapan anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.

“Api berjaya dikawal 15 minit kemudian sebelum operasi tamat, pada 5.01 pagi.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 10:01 AM