Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Hanya lapan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kelantan akan beroperasi bermula Ogos ini, susulan penurunan kes harian Covid-19 di negeri ini.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, buat masa ini terdapat 10 PKRC yang masih beroperasi dan sehingga semalam, seramai 646 pesakit yang menerima rawatan di pusat berkenaan.

Namun katanya, bermula bulan depan dua PKRC akan ditutup iaitu di Dewan Jubli Perak dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM).

Katanya, selepas kedua-dua PKRC itu ditutup, pesakit lelaki akan ditempatkan di PKRC Kompleks Belia Dan Sukan, Panji dan PKRC Gelanggang Seni.

"Penggunaan katil di kesemua PKRC kini hanyalah tinggal 50 peratus sahaja berbanding sebelum ini mencapai tahap penggunaan maksimum.

"Sehingga kini, seramai 300 petugas kesihatan ditempatkan di PKRC, yang mempunyai 30 petugas kesihatan setiap satu.

"Apabila PKRC ini ditutup, mereka boleh kembali menjalankan tugasan 'hakiki' seperti sedia kala," katanya.

SHAHNUN Hanif Abdullah Suhaimi (kiri) menyerahkan sumbangan ayam kepada Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir (kanan). FOTO Hazira Ahmad Zaidi
SHAHNUN Hanif Abdullah Suhaimi (kiri) menyerahkan sumbangan ayam kepada Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir (kanan). FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika di temui di PKRC Kompleks Belia Dan Sukan, Panji, di sini, hari ini.

Terdahulu, Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi mengagihkan 100 ekor ayam kepada petugas barisan hadapan yang disumbangkan oleh wakil Jukee Ayam, Mohd Rozi Ab Rahim.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Zurairie berkata, kejayaan penutupan PKRC ini susulan kerjasama yang cukup baik diberikan rakyat Kelantan dalam usaha mengawal penularan wabak Covid-19, selain patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Apabila lebih banyak PKRC ditutup, ia secara tidak langsung membolehkan kakitangan kembali bertugas di hospital kerana banyak operasi tergendala berikutan memberi fokus kepada pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di PKRC.

"Bagaimanapun, kami sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana apabila PKRC ditutup bukan mudah untuk membukanya kembali disebabkan memerlukan mobilisasi anggota selain barang-barang serta keperluan lain untuk ditempatkan di PKRC," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 2:17 PM