GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Pesakit Covid-19 yang membawa bayi atau kanak-kanak di bawah umur akan ditempatkan di bilik pengasingan atau bilik khas bagi melindungi mereka daripada dijangkiti.

Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, ibu bapa atau penjaga yang terpaksa membawa anak akan ditempatkan di tiga lokasi.

Katanya, mereka akan ditempatkan sama ada di PKRC Hospital Tengku Anis di Pasir Puteh, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pengkalan Chepa atau Kolej Jururawat Kota Bharu.

"Tiga lokasi ini mempunyai bilik pengasingan, jadi hanya ibu bapa atau penjaga bersama anak-anak mereka sahaja akan ditempatkan di bilik itu.

"Ia bagi melindungi bayi atau kanak-kanak yang tidak dijangkiti daripada bersama pesakit Covid-19 yang lain," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Mohd Zurairie berkata, bayi atau kanak-kanak yang tidak dijangkiti Covid-19 yang terpaksa dibawa ke PKRC oleh ibu bapa atau penjaga atas faktor tiada pengasuh atau keselamatan, mereka akan dipantau oleh petugas kesihatan dari semasa ke semasa supaya selamat dan bebas daripada jangkitan.

Beliau berkata, unit pengangkutan Covid-19 akan mengambil pesakit ini untuk ditempatkan di lokasi yang dipilih.

"Jumlah pesakit Covid-19 yang membabitkan bayi dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang masih dirawat di PKRC direkodkan seramai 217 sehingga hari ini.

"Kebiasaannya, pesakit di bawah umur 12 tahun ditemani ibu bapa atau penjaga, sebaliknya yang berusia 13 ke atas mereka boleh berdikari," katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang ibu, Noraini Ahmad Razlan, 29, dari Kampung Teluk Renjuna dekat Tumpat yang positif Covid-19 terpaksa mengambil risiko apabila membawa bayinya, Ali Rafiki Rostam berusia empat bulan ke PKRC walaupun bayinya bebas daripada jangkitan virus itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 2:48 PM