Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Hanya pesakit yang disahkan positif menerusi ujian Real-Time Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sahaja akan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kelantan bermula esok.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, penggunaan RT-PCR diputuskan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) negeri untuk diguna pakai kerana kes di negeri ini dilihat semakin menurun.

"Oleh sebab bilangan kes positif Covid-19 di negeri ini kadarnya menurun, jadi kita memutuskan Kelantan boleh melaksanakan pengesahan melalui RT-PCR kepada kesemua pesakit.

"Kecuali di beberapa lokaliti yang tidak boleh menggunakan RT-PCR dan ia masih mengguna pakai Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag).

"RTK-Ag digunakan di lokaliti membabitkan kluster yang ditentukan oleh CPRC negeri dengan persetujuan CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat PKRC Dewan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kelantan (JKKN) Tanjong Chat, di sini, hari ini.

MOHD Zurairie ketika meninjau di PKRC di Dewan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHD Zurairie ketika meninjau di PKRC di Dewan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Hadir sama, Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Katanya, negeri ini juga berkemungkinan menyaksikan penurunan kes Covid-19 selepas ini.

Pada perkembangan lain, Dr Mohd Zurairie berkata, penurunan kes Covid-19 di Kelantan menyebabkan jumlah pesakit di PKRC menurun kepada 979 orang.

"Justeru, kita akan mengoptimumkan penggunaan 10 PKRC apabila dua PKRC akan diletakkan dalam 'standby mode' iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, SMK Salor bermula esok, manakala Dewan Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Kubang Kerian dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Pasir Mas akan menghentikan pengambilan pesakit mulai esok.

"Dua lagi PKRC iaitu asrama Hospital Pasir Mas dan asrama Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh akan meletakkan pesakit yang disahkan menerusi RTK-Ag.

"Kita akan mengoptimumkan penggunaan 10 PKRC iaitu tujuh di Kota Bharu dan tiga lagi di luar Kota Bharu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 6:06 PM