Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Masih terdapat segelintir individu positif Covid-19 di Kelantan, namun tidak mahu ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, kebanyakan mereka menggunakan alasan sudah lengkap vaksin selain tidak bergejala teruk.

"Walaupun pandemik Covid-19 sudah hampir dua tahun, situasi pesakit enggan dibawa ke PKRC masih ada.

"Mereka mendakwa sudah lengkap vaksin dan keadaan kesihatan baik, sedangkan rumah mereka tidak sesuai dijadikan lokasi kuarantin.

"Untuk situasi berkenaan, kita akan berusaha untuk memujuk pesakit supaya datang ke PKRC sekiranya keadaan rumah mereka tidak sesuai dan jika mereka masih enggan, pesakit perlu mengisi borang serta sedia menanggung risiko sekiranya berlaku kejadian tidak diingini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat PKRC di Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, di sini, hari ini.

DR Mohd Zurairie (dua, kiri) melawat PKRC di USM Kubang Kerian. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim
DR Mohd Zurairie (dua, kiri) melawat PKRC di USM Kubang Kerian. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim

Dr Mohd Zurairie berkata, setiap hari purata pesakit menjalani Pengawasan dan Pemerhatian di rumah (HSO) antara 200 hingga 300 orang dengan memenuhi kriteria ditetapkan.

Katanya, mereka dibenarkan menjalani kuarantin di rumah kerana pesakit hanya bergelaja ringan selain keadaan rumah sesuai.

"Namun, kita sentiasa memantau keadaan pesakit dari semasa ke semasa.

"Sehingga kini seramai 650 pesakit ditempatkan di sembilan PKRC di Kelantan dengan kebanyakannya adalah perempuan.

"Penggunaan PKRC kini berada pada tahap 50 peratus memandangkan kes di Kelantan belum menunjukkan penurunan ketara dan berada di tempat kedua selepas Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 2:19 PM