Kuala Lumpur: Sempena cuti persekolahan yang sudah bermula, ibu bapa atau penjaga perlu mengawasi keselamatan anak-anak, termasuk memastikan mereka menjauhi kawasan larangan Tenaga Nasional Berhad (TNB ).

Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB, Datuk Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata, orang ramai dilarang berada di kawasan yang dipasang notis makluman potensi risiko kejutan elektrik.

“Jangan menceroboh kawasan pencawang atau pepasangan TNB yang ada notis itu bagi mengelak risiko renjatan serta pancaran arka (flashover) arus bervoltan tinggi.

”Selain kecederaan serius dan kehilangan nyawa, ia boleh mengakibatkan kerosakan harta benda dan gangguan bekalan kepada pengguna,” katanya.

Bagi kawasan berdekatan talian atas bervoltan tinggi, antara aktiviti tidak dibenarkan ialah bermain layang-layang dan helikopter atau kapal terbang kawalan jauh serta dron.

Selain itu, membawa peralatan panjang seperti galah di bawah talian dan memancing di kolam atau tasik juga mengundang risiko sama.

Beliau menasihatkan ibu bapa memastikan anak masing-masing tidak menyentuh atau menghampiri kabel yang terputus akibat pokok tumbang, terutama ketika hujan bagi mengelak terkena renjatan elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 9:59 PM