Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Lelaki yang menyelamatkan lapan ahli keluarganya di dalam Perodua Myvi yang terbabit kemalangan dan mengorbankan enam orang petang semalam, mendakwa mengalami renjatan elektrik ketika kejadian.

Mohd Arifin Syamsuddin, 32, berkata, renjatan itu dipercayai berpunca daripada pagar di kawasan berkenaan.

"Ketika mahu menyelamatkan mereka, saya mengalami renjatan elektrik namun tidak menghiraukannya kerana fikir nyawa ahli keluarga saya lagi penting.

"Pak cik saya yang turut membantu pun mengalami renjatan elektrik dan membatalkan niatnya itu kerana mempunyai sakit jantung.

"Orang ramai yang ada di situ tak berani turun ke kawasan itu dan saya nekad menyelamatkan mereka satu persatu bermula dengan mendukung anak perempuan saya yang sudah terkulai di riba ibu saudaranya di kerusi penumpang hadapan," katanya.

Dia ditemui di perkarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Enche' Hajjah Besar Khalsom di sini, malam tadi.

Dalam nahas itu, anak sulungnya, Mohd Arifin, Mohd Ashraf Rafiq, 11, bersama sepupu mereka yang juga adik-beradik, Muhammad Zharfan Noramin, 15 dan Muhammad Syakir, 10, penumpang di tempat duduk belakang, meninggal dunia.

Turut meninggal dunia, adik iparnya, Siti Nurzannah Kahdar, 25. Dia adalah penumpang di tempat duduk hadapan.

Dua lagi mangsa maut, seorang lagi adik iparnya, Masrina Kahdar, 20, dan seorang lagi ahli keluarga iaitu Muhammad Adil Abdul Kahdir, 22. Keduanya penumpang di tempat duduk belakang.

Mohd Arifin berkata, sebelum kejadian, mereka berkonvoi dengan menaiki tiga kenderaan dari Layang-layang menuju Mersing untuk menziarahi bapa saudara serta berkelah di Pantai Air Papan.

Mayat semua mangsa dijangka dituntut oleh waris, selepas proses bedah siasat selesai, pagi ini.

MOHD Arifin Syamsuddin, 32. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
MOHD Arifin Syamsuddin, 32. FOTO Mohamad Fahd Rahmat

Terdahulu, media melaporkan enam maut termasuk dua kanak-kanak selepas sebuah Perodua Myvi dinaiki lapan individu terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Batu 13 Jalan Mersing-Kluang, di sini, petang semalam.

Berita berkaitan:

Direnjat elektrik ketika selamatkan 8 mangsa [METROTV]

Duit RM40 pemberian terakhir arwah anak

Nahas dua kenderaan ragut 5 nyawa [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2023 @ 8:50 AM