FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

New Delhi: Sekurang-kurangnya enam maut ketika festival layang-layang pada perayaan Uttarayan di Gujerat, India selepas leher mereka terbelit dengan tali permainan itu.

Daily Star melaporkan polis tempatan pada Isnin mengesahkan tiga lelaki dewasa dan tiga kanak-kanak terkorban, manakala 176 orang lagi turut mengalami kecederaan akibat luka dan terjatuh semasa menerbangkan layang-layang.

Menurut TribuneIndia, kejadian itu berlaku pada hujung minggu apabila orang ramai berpusu-pusu ke teres dan bumbung untuk menyaksikan perayaan itu.

Beberapa tali tajam layang-layang itu tersangkut dan terbelit pada leher mangsa, menyebabkan mereka mati dalam keadaan mengerikan, kata pegawai dari Bortalav.

Seorang mangsa berusia dua tahun sedang membonceng skuter bersama bapanya di bandar Bhavnagar apabila tali layang-layang menjerut lehernya.

Dia meninggal dunia pada Ahad selepas menerima rawatan di hospital berhampiran.

Seorang pegawai dari Balai Polis Aji Dam menambah bahawa Rishabh Verma yang berusia tujuh tahun sedang menunggang dengan ibu bapanya menaiki skuter apabila lehernya terbelit tali layang-layang di Rajkot.

Dalam kejadian lain, seorang kanak-kanak berusia tiga tahun bernama Kismat sedang berjalan pulang bersama ibunya di bandar Visnagar pada hari Sabtu, apabila seutas benang terbelit di lehernya.

Kanak-kanak itu dikejarkan ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia sebaik tiba.

Tiga lelaki turut kehilangan nyawa dalam kejadian serupa di daerah Vadodara, Kutch dan Gandhinagar.

Swamiji Yadav, 35, maut selepas lehernya dibelit benang layang-layang ketika dia menunggang skuter di atas jambatan.

Narendra Vaghela, 20, terbunuh di bandar Gandhidham di daerah Kutch, dan Ashwin Gadhvi pula maut di bandar Kalol Gandhinagar, kata mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 12:31 PM