Nurul Hidayah Bahaudin


Subang Jaya: Kedegilan pihak pengurusan kilang bukan perkhidmatan penting yang masih meneruskan operasi dengan menggajikan warga asing ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh menyebabkan ancaman wabak Covid-19 kepada warga tempatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pemeriksaan dilakukan pihaknya terhadap sebuah kilang kejuruteraan keluli di Taman Perindustrian Subang, di sini, hari ini, mendapati premis terbabit tidak sepatutnya dibuka.

"Saya beritahu kepada pihak pengurusan mereka (kilang) bahawa ini boleh menimbulkan masalah. Mereka (pihak pengurusan) mengaku pada Mac dan April lalu, seramai 90 peratus daripada pekerjanya dijangkiti Covid-19.

"Jika sudah lalui hal itu pada Mac dan April lalu dan masih berperangai sebegitu, apa akan jadi kalau kena pusingan kedua varian baharu dengan kebanyakan mereka (pekerja) adalah warga asing," katanya ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan di kilang pembuatan keluli di Taman Perindustrian Subang, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan), Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd Ariff dan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman. \

SEBAHAGIAN pekerja warga asing ditahan di sebuah kilang besi dalam serbuan Op Patuh oleh agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri di Subang Jaya. FOTO Aizuddin Saad
SEBAHAGIAN pekerja warga asing ditahan di sebuah kilang besi dalam serbuan Op Patuh oleh agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri di Subang Jaya. FOTO Aizuddin Saad

Hamzah berkata, walaupun pekerja warga asing terbabit memiliki dokumen, namun timbul masalah apabila kes positif Covid-19 direkodkan membabitkan orang luar.

"Katakanlah 400 pekerja didapati positif Covid-19 dan jumlah itu akan masuk dalam angka jangkitan di Selangor.

"Mereka bukan warga kita dan jadi masalah kita apabila mereka keluar hujung minggu ke pasar raya. Apa akan jadi? Dia boleh merebakkan penyakit sporadik.

"Kita kena terima hakikat bahawa yang penting hari ini adalah semua pihak perlu berkorban. "Inilah yang saya beritahu pihak pengurusan tadi, berkorbanlah untuk kita turunkan angka jangkitan supaya menyesuaikannya seiring dengan negeri lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 2:53 PM