Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan Op Patuh secara besar-besaran di seluruh negara bagi membanteras ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, operasi bersepadu berkenaan dijangka bermula Khamis ini bertujuan mengurangkan kes jangkitan Covid-19 yang masih tinggi ketika ini.

"Mereka boleh tahu apa yang saya umumkan ini dan bersedia jika kita sudah tangkap, kita akan bagi kompaun maksimum.

"Operasi menyeluruh turut membabitkan sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan penuh pergerakan (SPP) bertujuan mengurangkan jangkitan Covid-19 yang masih mencapai angka 5,000 kes setiap hari.

"Tumpuan lebih diberikan kepada negeri yang mencatatkan kes Covid-19 yang tinggi dan penguatkuasaan dilakukan menggunakan pelbagai aset sedia ada seperti helikopter dan dron selain sekatan jalan raya (SJR) serta pemeriksaan mengejut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan Program Pemantauan Pematuhan SOP PKP 3.0 di Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau turut meninjau operasi pemantauan SOP di Penjara Marang, jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering dan operasi Jabatan Imigresen Malaysia di Bandaraya Kuala Terengganu.

Menurutnya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), esok bagi menetapkan strategi yang sesuai.

DATUK Seri Hamzah Zainudin (tiga kiri) meninjau keadaan pekerja warga asing di tapak binaan di Jalan Tanjung. FOTO Ghazali Kori
DATUK Seri Hamzah Zainudin (tiga kiri) meninjau keadaan pekerja warga asing di tapak binaan di Jalan Tanjung. FOTO Ghazali Kori

"Kita juga akan bekerjasama dengan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna).

"Syarikat yang minta kebenaran beroperasi, kita akan periksa dengan SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) betul ke kilang ini dalam sektor perkhidmatan perlu sebab adakalanya dekat MITI tulis pembuatan (tapi) dekat SSM daftar lain," katanya.

Op Patuh memberikan lebih fokus dan bersepadu terhadap penguatkuasaan pematuhan SOP dalam kalangan kilang dan premis perniagaan yang beroperasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 6:56 PM