GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Norzamira Che Noh


JABATAN Alam Sekitar (JAS) Selangor menahan dua lelaki kerana disyaki membuang minyak bercampur pelarut ke dalam lurang kumbahan di Jalan TS 6/7, Kawasan Industri Subang, Subang Jaya, Sabtu lalu.

Pengarahnya, Nor Aziah Jaafar berkata, dua individu berusia antara 30 hingga 40 tahun itu ditahan di sebuah premis di kawasan industri kecil dan sederhana (IKS) berdekatan Pangsapuri Angsana dekat Subang Jaya.

“Semasa serbuan dilakukan, kami mendapati sebuah lori tangki bermuatan 37,000 liter sedang memindahkan minyak hitam bercampur pelarut ke dalam ‘skid tank’ dalam premis berkenaan.

“Kami mendapati terdapat kesan pembuangan sisa minyak hitam ke dalam lurang kumbahan di premis itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dua individu iaitu pemandu lori dan penjaga premis ditangkap dan diambil keterangan, manakala premis dan lori tangki berkenaan disita.

Katanya, sebanyak empat sampel buangan diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) bagi analisis komposisi buangan.

“Kejayaan tangkapan ini adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Ahli Majlis Zon 4; Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan polis.

“Siasatan lanjut diteruskan bagi mengambil tindakan tegas di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Ia akan turut meliputi siasatan bagi menjejaki saki baki sindiket dan syarikat terbabit dengan kes pembuangan sisa kimia ke lurang kumbahan dan punca pelupusan haram buangan terjadual di Selangor sebelum ini berdasarkan modus operandi sama,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini penduduk dan pekerja kilang di sekitar lokasi berkenaan terutama penduduk Pangsapuri Angsana sering mengadu berkenaan pencemaran bau yang kuat sehingga menyebabkan mereka sesak nafas.

Katanya, JAS Selangor memberi amaran tegas bahawa mereka yang tidak bertanggungjawab tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang dan jika didapati bersalah melakukan pelupusan haram bahan toksik dan berbahaya, akan didenda tidak melebih RM500,000 serta dipenjara mandatori selama tempoh tidak melebihi lima tahun selaras dengan peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 1:46 PM