KEDIAMAN di Residensi Warnasari, Bandar Puncak Alam, terbakar malam tadi. FOTO Ihsan Bomba.
KEDIAMAN di Residensi Warnasari, Bandar Puncak Alam, terbakar malam tadi. FOTO Ihsan Bomba.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Dua beradik nyaris rentung selepas rumah mereka di Residensi Warnasari, Bandar Puncak Alam, di sini, terbakar malam tadi.

Mangsa berusia tujuh dan lapan tahun itu berjaya dikeluarkan pengawal keselamatan dan jiran berdekatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 11.33 malam.

Beliau berkata, sepasukan 19 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya, Sungai Buloh dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saujana Utama dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Berdasarkan laporan awal, kebakaran membabitkan kabinet dan tilam di sebuah bilik kediaman terbabit.

"Api bagaimanapun berjaya dipadamkan pengawal keselamatan dengan alat pemadam api sebelum pihak bomba tiba," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norazam berkata, siasatan awal mendapati ibu bapa kanak-kanak itu tiada di rumah dipercayai keluar atas urusan mengambil anak jiran di Banting.

"Sepupu mangsa terdengar bunyi letupan dan melihat api dari sebuah bilik di bangunan lima tingkat itu.

"Dia kemudian memanggil pengawal keselamatan untuk membantu mangsa yang berada di ruang tamu rumah itu," katanya.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

"Pihak bomba juga melakukan pemeriksaan sisa api secara menyeluruh di seluruh kediaman itu.

"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 12.50 tengah malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 1:35 PM