ANGGOTA bomba lengkap dengan PPE berjaya menangkap ular sepanjang dua meter. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba lengkap dengan PPE berjaya menangkap ular sepanjang dua meter. FOTO ihsan bomba
Juwan Riduan


Penampang: Pasukan Bomba dan Penyelamat terpaksa mendapatkan kebenaran Ibu Polis Daerah (IPD) Penampang sebelum dibenarkan masuk ke rumah pemanggil yang dikuarantin untuk menangkap ular di Kampung Muhibbah, Petagas, Putatan, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, anggota bomba juga terpaksa menjalani proses sanitasi bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan Covid-19.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zainal @ John Radsung berkata, sepasukan tiga anggota dan seorang pegawai dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, anggota bomba mengenakan sut pakaian perlindungan diri (PPE) dan menjalani proses sanitasi sebelum masuk menangkap ular.

"Ular sepanjang kira-kira dua meter itu berjaya ditangkap di bilik air rumah berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zainal berkata, selepas ular berjaya ditangkap dan tiada lagi bahaya lain wujud, pasukan bomba sekali lagi menjalani proses sanitasi.

"Operasi tamat pada jam 10.05 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 12:51 PM