ANGGOTA APM menangkap seekor ular tedung selar yang memasuki sebuah rumah di Kampung Ulu Paip,Karangan, semalam. FOTO Ihsan APM.
ANGGOTA APM menangkap seekor ular tedung selar yang memasuki sebuah rumah di Kampung Ulu Paip,Karangan, semalam. FOTO Ihsan APM.
Azahar Hashim


Tindakan pantas anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kulim berjaya menangkap ular tedung selar sepanjang empat meter di rumah seorang penduduk di Kampung Ulu Paip, Karangan, Kulim, kelmarin.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah Kulim, Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.11 petang semalam daripada seorang lelaki berusia 56 tahun memaklumkan rumahnya dimasuki ular.

Katanya, berikutan itu lima anggotanya diketuai Staff Muda (PA) Noraishah Atikah Ramli, bergegas ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba, lelaki itu memaklumkan kepada anggota APM bahawa ular itu berlingkar bersebelahan tong gas di dapur rumahnya.

"Anggota kami kemudian membuat pencarian dan menemui ular terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Mohd Fadhil Fahmi, kira-kira 20 minit berusaha, anggotanya berjaya menangkap ular tedung selar itu.

"Ular terbabit kemudian dilepaskan ke habitat asalnya serta jauh daripada kawasan yang ramai penduduk.

"Pihak kami ingin menasihati orang ramai sekiranya rumah mereka dimasuki binatang liar atau berbisa, hubungi anggota penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia atau APM yang lebih berpengalaman dalam menangani situasi terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 6:02 PM