GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Seorang wanita ditahan polis selepas dipercayai memuat naik kenyataan menghina laungan azan dan masjid dalam akaun Facebook miliknya, baru-baru ini.

Penahanan tukang urut berusia 26 tahun yang berasal dari Tawau, Sabah itu dibuat di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini, selepas wanita itu tampil menyerah diri pada 11.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis menerima empat laporan berhubung kenyataan yang dimuat naik suspek yang mendatangkan ketidakpuasan hati umat Islam di negeri ini.

Katanya, laporan terbaru yang diterima pihaknya dibuat seorang pengurus syarikat swasta berusia 33 tahun.

"Pengadu yang berada di rumahnya di sebuah pangsapuri di Perai pada 5.18 petang ternampak satu kenyataan menghina laungan azan.

"Terdapat juga kenyataan tanda pagar yang menghina masjid yang dimuat naik individu menggunakan nama Facebook 'JULIA JJ II'," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shafee berkata, pengurus berkenaan tampil membuat laporan polis malam tadi selepas tidak berpuas hati kerana kenyataan itu boleh menyebabkan berlakunya perpecahan kaum dan perlu diambil tindakan yang tegas.

"Tindakan suspek itu disifatkan tidak menghormati sensitiviti agama rakyat Malaysia dan dianggap sangat tidak wajar kerana akan mencetuskan perpecahan kaum dan juga menimbulkan situasi tidak harmoni dalam kalangan umat Islam di negara ini.

"Berdasarkan laporan yang dibuat pengurus serta beberapa lagi pengadu lain, polis memanggil pemilik Facebook itu ke IPD Seberang Perai Tengah dan menahannya untuk siasatan lanjut berhubung perkara berkenaan," katanya.

Katanya, semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan polis merampas dua telefon bimbit kepunyaan suspek untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 11:57 AM