GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 735 individu ditahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan tertinggi direkodkan adalah rentas negeri atau daerah dan makan di premis membabitkan 153 individu.

Menurutnya, kesalahan lain adalah individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (149), tidak memakai pelitup muka (143), tiada penjarakan fizikal (130) dan membawa penumpang berlebihan (50).

"Kesalahan lain adalah tidak patuh arahan kawalan pergerakan (41), aktiviti pusat hiburan (10), premis gagal patuhi arahan (lapan) dan lain-lain (51).

"Daripada jumlah itu, seramai 705 individu dikompaun manakala 30 lagi direman," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata, dua pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan enam kenderaan darat dirampas.

Beliau berkata, dalam operasi sama, 208 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui 10 aktiviti penglihatan.

"Semalam, 733 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara.

"Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 778 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan terdiri daripada peruncit (601), pemborong (147) dan pengilang (31)," katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP juga melakukan 1,505 pemeriksaan khas dan daripada jumlah itu, 1,488 premis mematuhi SOP manakala 17 lagi dikenakan kompaun.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 8:23 PM