Perhilitan merampas 23 burung dari spesis yang dilindungi disbuah rumah di Taman Bestari Indah, Ulu Tiram, semalam. FOTO IHSAN PERHILITAN
Perhilitan merampas 23 burung dari spesis yang dilindungi disbuah rumah di Taman Bestari Indah, Ulu Tiram, semalam. FOTO IHSAN PERHILITAN
Omar Ahmad.


Johor Bahru : Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor berjaya menyelamatkan 23 burung yang dilindungi dalam operasi pemeriksan penguatkuasaan hidupan liar di sebuah rumah di Taman Bestari Indah, Ulu Tiram di sini, semalam.

Pengarahnya, Salman Saaban berkata dalam operasi jam 10.30 malam itu, kesemua burung pelbagai spesis ditemui disimpan oleh lelaki berusia 47 tahun tanpa kebenaran.

Katanya hasil pemeriksaan premis, menemui 11 burung bayan nuri, sepuluh burung bayan serindit, serta masing-masing seekor burung bayan puling dan burung murai batu.

"Kesemua spesis burung ini dilindungi dibawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

"Selepas diperiksa mendapati pemilik premis seorang lelaki berusia 47 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk menyimpan kesemua spesies burung itu. Kesemua burung itu disita termasuk telefon bimbit untuk siasatan lanjut.

"Nilai hasil sitaan adalah lebih kurang RM9,500. Laporan polis dibuat di Balai Polis Ulu Tiram dan orang yang disyaki dilepaskan dengan jaminan polis. Manakala sesemua barang kes dibawa ke Pejabat Perhilitan Daerah Kluang untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 60 dan Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 1:26 PM