Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Semua sisa buangan daripada fasiliti seperti Pelindung Anggota Perubatan (PPE) dikategorikan sebagai sisa klinikal yang digunakan khusus untuk pengendalian pesakit Covid-19.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PPE itu akan dikumpulkan dan dilupuskan di loji pelupusan sisa klinikal yang mempunyai teknologi pengawalan pencemaran alam sekitar.

"Sisa klinikal dikelaskan sebagai sisa buangan terjadual yang memerlukan prosedur pengendalian serta pelupusan khas sebagaimana digariskan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

"Perkhidmatan Pengurusan Sisa Klinikal di hospital kerajaan adalah salah satu skop di bawah Penswastaan Perkhidmatan Sokongan Hospital (PSH) yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi dilantik kerajaan dan perlu mempunyai lesen berdaftar di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk pengoperasian, pengangkutan dan pelupusan sisa klinikal," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Ahmad Jazlan meminta menteri menjelaskan adakah kerajaan bercadang mewujudkan tempat pembuangan sisa klinikal khas di setiap negeri sejak negara dilanda Covid-19 kerana terdapat peningkatan pembuangan sampah seperti penutup muka, pembasmi kuman dan sarung tangan terutama di Sungai Klang sejak Mac tahun ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Tuan Ibrahim kemudian menjelaskan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, buangan seperti bahan plastik pakai buang yang dijana daripada fasiliti kesihatan dan pusat kuarantin Covid-19 diwartakan oleh kerajaan dikategorikan sebagai buangan terjadual dengan kod buangan terjadual SW 404 iaitu buangan patogenik, buangan klinikal atau bahan yang dikuarantinkan.

"Buangan (sisa klinikal) ini perlu dilupuskan di premis yang ditetapkan buangan terjadual (PYDT-BT) yang dilesenkan JAS.

"Menjadi kesalahan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 jika seseorang didapati menempatkan, meletakkan atau melupuskan buangan di premis yang bukan ditetapkan yang tidak dilesenkan oleh JAS tanpa terlebih dahulu mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM500,000," katanya.

Namun menurutnya, buangan seperti plastik pakai buang yang digunapakai orang awam di premis seperti pasar basah, pasar raya, pejabat, kilang dan seumpamanya yang digunakan bagi tujuan perlindungan diri daripada jangkitan adalah dikategorikan sebagai buangan domestik dan tidak dikategorikan sebagai sisa klinikal (atau bukan buangan terjadual).

"Buangan ini dilupuskan sebagai buangan domestik (sisa pepejal) yang diuruskan pihak berkuasa tempatan atau di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 1:15 PM